Friday, 22 February 2013

SKIM LENCANA ANTI DADAH


SKIM LENCANA ANTI DADAH

Apakah dia Skim ini?
Skim Lencana Anti Dadah adalah satu usaha terancang untuk melibatkan ahli-ahli persatuan berpakaian seragam sekolah menengah dalam aktiviti pendidikan pencegahan dadah di sekolah dan akhirnya di masyarakat luar.

Bagaimana Skim ini dilaksanakan ?
Aktiviti Skim ini adalah sebahagian daripada aktiviti berpersatuan berpakaian seragam sekolah yang menyertainya.Di samping menjalankan aktiviti persatuan yang telah ditetapkan, pemimpin/penasihat persatuan berkenaan hendaklah memasukkan aktiviti anti dadah dalam aktiviti persatuan.Ahli-ahli persatuan yang menyertai Skim secara berterusan akan dianugerahkan Lencana Anti Dadah selepas diadakan penilaian.

Apakah ertinya pernyataan anda di dalam Skim ini?
Dengan menyertai Skim ini,anda telah memberikan sumbangan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah di sekolah anda.Sekurang-kurangnya anda tahu akan bahaya dadah dan bagaimana anda rakan-rakan anda boleh menjauhkan diri dari penyalahgunaan dadah.



KONSEP SKIM LENCANA ANTI DADAH

Skim Lencana ini adalah merupakan satu langkah jangka panjang untuk memupuk semangat dan sikap bencikan dadah di kalangan pelajar sekolah.Skim ini adalah merupakan satu usaha pendidikan pencegahan awal untuk mencegah penularan masalah dadah di kalangan pelajar-pelajar.Walaupun ada pelajar sekolah yang terlibat dalam perbuatan menyalahgunakan dadah,tetapi penglibatan mereka masih dapat dikawal dan kebanyakannya hanya pada peringkat mencuba-cuba (experimenting) dadah sahaja.Oleh itu program ini adalah satu program yang cuba menyekat dan akhirnya menghapuskan perbuatan menyalahgunakan dadah di kalangan pelajar.Segala penerangan yang diberikan kepada peserta skim ini adalah untuk menerangkan secara menyeluruh ancaman dan bahaya penggunaan dadah untuk mewujudkan persefahaman yang tinggi di kalangan pelajar sekolah terhadap masalah dadah di Malaysia.

Skim ini adalah menggunakan pengaruh teman sebaya (peer group influence) untuk menyampaikan mesej anti dadah dan melibatkan murid-murid yang menganggotai Pasukan Pakaian Seragam di sekolah masing-masing.Pengetahuan yang menerusi penyertaan dalam skim ini akan membolehkan mereka untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mencegah penggunaan dadah di kalangan rakan-rakan sekolah,teman-teman sebaya,keluarga,sahabat-handai dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan mereka.Penuntut yang menyertai skim ini akan dapat berinteraksi secara berkesan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah,misalnya dapat memujuk atau menyakinkan pelajar yang bermasalah itu berjumpa dengan guru bimbingan atau sesiapa sahaja yang difikirkan dapat membantu menyelesaikan masalah pelajar berkenaan.

Selain daripada itu,anggota pasukan seragam yang telah menerima Lencana Sijil Anti Dadah ini akan boleh terus berkhidmat kepada masyarakat selepas tamat persekolahan/pengajian dalam bidang anti dadah; umpamanya sebagai ahli panel penceramah, para kaunselor (setelah mendapat latihan dan bimbingan yang sesuai dalam bidang ini) dalam program seliaan lanjutan bekas penagih,atau sebagai sukarelawan dalam aspek tindakan anti dadah yang lain.

Aktiviti dalam program Skim Lencana Anti Dadah ini adalah merupakan satu daripada pelbagai aktiviti pasukan pakaian seragam berkenaan.Pasukan Pakaian Seragam boleh mengambil beberapa hari daripada hari-hari aktiviti mereka untuk menjalankan aktiviti Pasukan Pakaian Seragam itu sendiri.Untuk menimbulkan rasa penglibatan bersungguh-sungguh komited dalam Program Skim Lencana itu,anggota-anggota Pasukan Pakaian Seragam yang menyertai Skim Lencana ini di kehendaki lulus ujian-ujian dan melakukan kerja-kerja praktikal,barulah dianugerahkan Lencana Anti Dadah.Lencana Anti Dadah ini adalah merupakan penghargaan kepada penglibatan pelajar-pelajar itu dalam aktiviti anti dadah.Mereka bolehlah memakai lencana itu sebagai satu daripada lencana-lencana kemahiran.

                       PENGERTIAN LOGO

1.    Genggaman tanpa melambangkan :-
-         Tentangan terhadap dadah.
-         Bersama-sama membanteras dadah.
-         Pertolongan kepada penagih
-         Kejayaan membanteras dadah.
2.    Bentuk bulatan di tengah dengan slogan ‘BERSAMA MEMBANTERAS NAJIS DADAH’ menunjukkan kepaduan dalam gerakan membanteras dadah.
3.    Warna-warna melambangkan :
-         Merah melambangkan keberanian dalam menjalankan tugas serta menghadapi ancaman.
-         Biru melambangkan kecintaan dan kasih sayang sesama insan.
-         Kuning melambangkan kejayaan dan kegemilangan pertubuhan-pertubuhan melaksanakan tugas membanteras dadah.
4.    Kepala anak panah masing-masing melambangkan bidang usaha membanteras dadah :
-         Diri
-         Keluarga
-         Sekolah
-         Masyarakat
-         Negara

OBJEKTIF SKIM LENCANA

Skim Lencana ini adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar yang menyertai;
1.    Mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan mesej anti dadah.
2.    Dapat menanamkan peranan sebagai orang berpengaruh (indlueneers) dalam menyampaikan mesej anti dadah di kalangan rakan sebaya,ahli keluarga dan masyarakat.
3.    Dapat menghayati aktiviti pencegahan dadah melalui amali penyampaian mesej.
4.    Menolong rakan-rakan sebaya yang mempunyai ‘risiko tinggi’supaya berhubung dengan guru bimbingan dan menjadi kaunselor rakan sebaya.
5.    Berkhidmat secara sukarela dalam aktiviti anti dadah apabila tamat persekolahan/pengajian.

VISI

Sekolah Bebas Dadah 2012,Negara Bebas Dadah 2015

MISI

Melahirkan Murid bebas dadah melalui Program Ppda yang bersepadu dan menyeluruh dari aspek pengurusan dan kepimpinan,kurikulum,kokurikulum dan pembangunan sahsiah.


MATLAMAT PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH

Matlamat Pendidikan Pencegahan dadah di sekolah ialah untuk memberi pengetahuan,kesedaran dan keinsafan kepada murid,guru,kakitangan pendidikan dan ibu bapa akan bahaya agar mereka menjauhinya dan berupaya menentang ancaman dadah meletakkan sasaran ‘’Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012 dan Negara Bebas Dadah 2015’’

PRINSIP PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH DI SEKOLAH
1.    Semua sekolah rendah dan menengah hendaklah melaksanakan program PPDa.
2.    Pendidikan Pencegahan dadah adalah untuk semua murid,guru,kakitangan sekolah dan ibu bapa.
3.    Pengetahuan,kemahiran,nilai,pengalaman,sikap dan kelakuan yang disampaikan kepada murid hendaklah selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara.
4.    Pendidikan Pencegahan Dadah adalah tanggungjawab semua warga sekolah.
5.    Program Pendidikan Pencegahan dadah hendaklah menjurus ke arah ‘’Sekolah Bebas Dadah Dan Negara Bebas Dadah 2015’’


Pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah diharap dapat memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid-murid, guru, kakitangan pentadbiran sekolah dan ibu bapa akan bahaya dadah.Perancangan aktiviti ini diharapkan mampu memberikan pendedahan agar mereka dapat menjauhi dan berupaya menentang dadah dengan meletakkan sasaran ‘’Sekolah Bebas Dadah 2015’’